MENGENALI SDR MD KHAIR


SDR. MD KHAIR BIN MOHD SHAM berusia 45 tahun, dilahirkan pada 9.8.1964 di Kg. Serkat, Pontian kemudian dibesarkan di Felda Bukit Batu mengikut ibu dan bapanya yang berhijrah ke sana. Beliau bersekolah rendah di SK Bukit Batu dan menyambung pelajarannya di SMK Sultan Ibrahim. Selepas tamat persekolahan sehingga Tingkatan 5, beliau berhijrah ke Singapura mengikut rakan-rakannya berkerja di sana. Tidak lama kemudian beliau memohon jawatan sebagai Pembantu Am Rendah (PAR) di SMK Kelapa Sawit. Setelah 25 berkhidmat, beliau dinaikkan Gred N4 sebagai Pembantu Am Pejabat Kanan. Untuk pengetahuan, beliau merupakan staf yang paling lama berkhidmat di SMKKS iaitu sejak sekolah ini dibuka pada tahun 1984. Dalam tempoh tersebut, beliau telah beberapa kali menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di atas kecemerlangan perkhidmatan beliau.

Beliau telah berkahwin dan dikurniakan 3 orang cahaya mata. Seorang lelaki dan dua orang perempuan. Untuk makluman, abang sulung beliau adalah mantan Pengarah Pelajaran Johor yang berkhidmat sekitar tahun 1990an. Seperkara yang menarik, beliau mempunyai ramai sahabat handai di Tanjung Balai, Sumatera. Setiap kali berpeluang, beliau akan ke Tanjung Balai dan sehingga kini beliau sudah ke sana lebih 25 kali. Penulis pernah mengikut beliau ke Tanjung Balai dan Tanjung Batu pada cuti persekolahan bulan Jun 2008 yang lalu.

Dari segi perwatakan, beliau seorang yang lemah lembut, sentimental, lurus dan terlalu baik orangnya. Tidak pernah penulis melihat beliau berperasaan marah, masam mencuka atau meninggikan suara. Beliau juga tidak pernah menolak tugas yang diberikan oleh pengetua hatta terbaru diminta mengetuai mengecat pagar sekolah bersama krew Pembantu Makmal pada bulan puasa yang lalu iaitu pada masa matahari tengah terik membahang. Selama 2 minggu ini, beliau bersama rakan-rakan Pembantu Makmal telah membantu penulis menyiapkan Taman Herba Beraroma. Di antara sebab penulis memilih SMKKS sebagai pilihan menjalani Program Sandaran NPQEL ialah kerana adanya Sdr. Khair.

Selain tugas rasmi di sekolah, beliau mempunyai kemahiran tinggi melakukan kerja-kerja wiring dan piping. Sebarang kesulitan mengenai dua perkara tersebut di sekolah, beliau adalah orang pertama diminta mengatasi masalah tersebut. Satu lagi, beliau merupakan sharp shooter, menembak menggunakan senapang patah peninggalan arwah bapanya yang kini menjadi pusaka beliau. Beliau minat lagu tapi penulis tak pernah mendengar beliau menyanyi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan